terima kasih sudi singgah.....buat susah-susah jeeeeeee....teeehehehehe..

✿cayang2 rosalina✿

Showing posts with label info hamil. Show all posts
Showing posts with label info hamil. Show all posts

Tuesday, December 26, 2017

Makanan sihat untuk trimester pertama :)

Assalamualaikum..




hai.. kat sini nak share makanan sihat untuk ibu² hamil yang baru masuk trimester pertama. sharing is caring.. untuk panduan bersama juga.. :)

****


Pada fasa awal kehamilan, anda mungkin mendapati sukar untuk makan dengan baik kerana mabuk hamil. Berikut adalah beberapa idea makanan yang sihat untuk trimester pertama anda. 






Dalam trimester pertama anda (4 minggu hingga 13 minggu), anda memerlukan semua vitamin dari diet yang sihat dan pelbagai, terutamanya folat, beta karotena dan vitamin A yang amat penting untuk perkembangan bayi anda pada peringkat awal ini. 

Jika mabuk hamil membuatkan masa makan sukar ditangani, makanan-makanan di persembahan slaid ini adalah sumber baik dan lazat nutrien-nutrien tersebut.







Sup bayam, brokoli atau kacang pis

Sayur-sayuran hijau seperti bayam, brokoli, kacang pis dan kubis kerinting adalah kaya dengan folat. Bungkuskan sup sayur ke tempat kerja

Cuba guna herba dan rempah segar atau jus lemon untuk menambah perisa tanpa garam dan pilih kiub rebusan rendah garam. Jika anda membeli sup, pilih yang rendah garam. 

Asid folik tambahan yang anda ambil dan makanan yang kaya dengan folat yang anda makan membantu untuk mencegah kecacatan tiub neural seperti spina bifida dalam bayi anda.




Salad ubi bit

Untuk mendapatkan lebih folat dan zat besi, tambahkan parutan ubi bit mentah atau kepingan ubi bit yang dimasak kepada daun bayam kecil atau salad Rom. Tambahkan sedikit kuah salad, jika anda suka. 

Zat besi membantu anda untuk membuat sel-sel darah merah bagi bayi dalam kandungan.




Salad kacang

Satu snek mudah-alih yang kaya dengan folat, zat besi dan serat. Cuba sediakan salad ini dengan kacang pinto, kacang lima, kacang borlotti, kacang mata hitam dan kacang buncis, dan tambah jagung dan cili kembung untuk beta karotena dan untuk membezakan tekstur. Tambah kuah salad pilihan sendiri. 

Badan anda sendiri akan mengubahkan beta karotena kepada vitamin A. Vitamin A adalah penting untuk perkembangan organ-organ bayi anda dan juga sistem-sistem peredaran darah, pernafasan dan saraf. Ia juga membantu anda untuk melawan jangkitan.



Sayur-sayuran hijau dan kuah celup

Kukus asparagus atau brokoli dan celup dengan dadih, bawang putih dan herba, atau hummus. Ia satu snek yang kaya dengan folat dan juga mengandungi zat besi.




Salad nasi beras perang

Nasi beras perang penuh dengan folat, serat dan zat besi. Tambah lobak merah dan cili kembung untuk menambahkan beta karotena, dan tambah juga sedikit minyak zaitun atau kuah salad.

Atau tukar kepada beras perang bila tiba masa makan; ia lebih berkhasiat daripada beras putih.




Jenis-jenis tembikai

Cuba kepingan-kepingan tembikai susu, galia atau tembikai wangi untuk mendapatkan folat dan beta karotena. Basuh kulitnya, potong berkeping-keping dan simpan dalam peti sejuk.




Limau

Limau, jus limau tulen, oren Jepun (satsuma), limau tangerine atau clementine merupakan snek yang menyegarkan, dan mengandungi folat dan beta karotena.




Bran bijirin diperkaya

Bijirin bran diperkaya mengandungi asid folik dan zat besi, dan merupakan snek yang mudah disimpan di dalam almari. Makan dengan beberapa kepingan pisang untuk folat dan kemanisan semula jadi serta serat.




Roti bakar dengan ekstrak yis

Simpan sebuku roti mil penuh dalam penyejuk beku. Selepas membakar roti, sapukan sediki marjerin untuk vitamin A dan sedikit ekstrak yis untuk asid folik tambahan.




Keju pada roti bakar

Pada sekeping roti bakar mil penuh, tambahkan keju cheddar atau mozzarella yang dicairkan, atau cuba keju kotej atau krim. Produk tenusu adalah sumber baik vitamin A. 

Hati adalah dilarang untuk wanita hamil kerana ia mengandungi tahap retinol bentuk vitamin A yang terlalu tinggi. Mentega, keju, telur dan ikan berminyak mengandungi jumlah yang lebih rendah dan merupakan sebahagian penting diet anda.




Telur rebus keras

Telur mengandungi vitamin A dan folat, dan merupakan sumber baik zat besi. 

Rebus selama kira-kira tujuh atau lapan minit, biar sejuk dan simpan di dalam peti sejuk untuk tidak lebih daripada dua hingga tiga hari.



Telur dadar atau frittata

Masak telur sehingga ia benar-benar masak jika anda membuat frittata. Tambah bayam, asparagus, kubis daun atau brokoli yang dikukus dan dicincang. Sayur-sayuran ini kaya dengan folat.



Buah-buahan berwarna oren

Untuk makanan snek, pilih buah pic, aprikot dan betik yang telah masak, atau tambahkannya pada semangkuk bijirin, untuk beta karotenanya. Buah-buahan ini juga mengandungi folat. 

Potong and bungkus ke dalam bekas untuk mempermudahkan anda membawa buah-buahan ini ke tempat kerja.




Cili kembung dan lobak merah mentah

Cili kembung dan lobak merah penuh dengan beta karotena. Potongkan berbentuk cota dan simpan dalam bekas bertutup di dalam peti sejuk, sedia untuk dicelup ke dalam kuah-kuah seperti guacamole avokado, yang mengandungi folat. Atau tambah lobak merah parut dan hirisan nipis cili kembung pada sandwic hummus.




"Smoothie" buah-buahan

"Smoothie" atau susu kocak yang dibuat dengan mangga atau pic masak dan susu separa skim atau dadih rendah lemak tanpa gula adalah cara yang lazat dan mudah untuk mendapatkan beta karotena dan Vitamin A.




Sup labu, labu parang atau lobak merah

Sayur-sayuran berwarna oren adalah kaya dengan beta karotena. Masak sup keledek, labu parang (juga dikenali sebagai labu merah atau labu ambun), labu atau lobak merah. Tuang ke dalam termos, sedia untuk dibawa ke tempat kerja. Tambah kuaci (dari biji bunga matahari atau labu) untuk folat, zat besi dan asid lemak omega-3 yang lebih. 

Lemak omega-3 adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan otak dan mata bayi anda.




Kubis bunga dengan sos keju

Kubis bunga adalah sayur yang kaya dengan folat, dan keju menambah vitamin A kepada makanan snek yang lazat ini. Gunakan susu separa skim dan keju separuh lemak untuk sos, jika anda suka.

Atau tambah kubis bunga pada kari sayur-sayuran, nasi pilau dan sup sayur-sayuran.




Pencuci mulut enak

Kek lobak merah buatan sendiri mengandungi vitamin A daripada lobak, vitamin E daripada minyak dan kacang walnut, serta serat yang penting. Ia merupakan pencuci mulut yang lazat dan menyeronokkan.

Sumber : https://www.babycenter.com.my/l25009603/makanan-sihat-untuk-trimester-pertama-anda-foto


Pantang larang masyarakat Melayu semasa hamil :)

Assalamualaikum..




hai gaisss.. ni kite nak share pasal pantang-larang masyarakat Melayu semasa hamil untuk panduan bersama okeyy.. :)


****

Masyarakat Melayu memang kaya dengan pantang larang dalam segala hal, termasuk juga pantang larang yang melibatkan wanita hamil. Anda pasti biasa mendengar orang tua berkata sekiranya ibu yang sedang hamil mengidam sesuatu namun tidak mendapatnya, bayinya nanti akan menjejes air liur. Ada pantang larang yang boleh diterima akal, namun banyak juga yang membuat anda tertanya-tanya di manakah logiknya.







Apakah pantang yang paling biasa?





Binatang: badi dan kenan


Kenan dimaksudkan sebagai keganjilan tertentu pada gerak geri atau kelakuan, misalnya. Manakala badi merupakan kesan buruk yang dialami seseorang, antaranya kerana mendekati mayat, bangkai atau sesuatu yang dianggap keramat. 

Rohani Isa, seorang surirumah di Klang, memberitahu semasa hamil anak pertama, suaminya cukup gemar memancing. Jadi, katanya, apabila bayinya dilahirkan cacat, ada yang mengaitkan anaknya itu terkenan badi ikan. “Orang kata anak saya terkenan badi ikan, antaranya kerana anak saya yang tidak boleh berjalan mahu pun bercakap itu, hanya jadi hidup apabila melihat cahaya. Perlakuannya tidak ubah seperti ikan yang mengejar di air apabila melihat umpan yang bercahaya,” katanya. 

Fauziah Bachik, seorang bidan dan pengamal tradisi Melayu berkata, memang banyak pantang larang orang Melayu membabitkan binatang yang terpakai bagi kedua-dua suami isteri. Bukan saja isteri kena berhati-hati supaya jangan terkejut melihat sesuatu, suami juga sama. Ini kerana, orang dulu-dulu percaya bahawa binatang ada semangatnya. 

Oleh kerana itu, wanita hamil mahu pun suami atau keluarga terdekat tidak boleh menganiaya binatang, sama ada dengan membunuh, memukul malahan mencabar atau menghina. Binatang yang dikatakan kuat badinya, seperti beruk, anjing, kucing dan ular. 






Terkejut apabila terserempak atau melihat sesuatu



Menurut Fauziah, salah satu daripada perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh ibu hamil ialah memastikan mereka tidak terkejut apabila terserempak atau melihat sesuatu, misalnya binatang atau keadaan fizikal seseorang. “Jika terkejut, jangan memaki hamun atau menghina. Sabar dan sebut, ‘kus semangat awang dayang.’ Itu petua yang diberikan orang dulu-dulu yang mungkin merujuk ungkapan pada bayi lelaki atau perempuan. Ia seolah-olah melindungi kandungan kita daripada terkejut dan menerima musibah,” katanya. “Bagi saya, seeloknya disertai bacaan selawat serta mintalah perlindungan daripada Tuhan.” 





Wanita hamil juga biasanya disuruh:


  • menjaga emosi dan jangan menyimpan niat tidak elok atau berprasangka buruk sepanjang kehamilan.
  • jangan derhaka kepada suaminya kerana akan berdepan kesukaran ketika mahu melahirkan.
  • minum air kelapa pada bulan-bulan terakhir kehamilan supaya bayi berkeadaan bersih ketika dilahirkan.
  • melihat benda-benda yang elok dan cantik supaya bayi juga berkeadaan elok dan cantik dari segi rupa dan peradaban.
  • banyak berjalan dan melakukan senaman ringan, dan elakkan bermalas-malasan sahaja.




Ibu-ibu hamil juga melaporkan yang mereka pernah disuruh orang tua:

  • Jangan potong ketam, takut anak menjadi cacat.
  • Jangan sampai terpukul atau terserempak ular, takut tali pusat anak terbelit.
  • Jangan menjerat burung, mengikat tali, takut susah ketika anak hendak dilahirkan, dikhuatiri terbelit tali pusat.
  • Jangan mengail, menyiang ikan, menyembelih, mengasari atau membunuh binatang, takut anak jadi sumbing atau cacat anggota lainnya, atau kelihatan seperti haiwan yang dianiaya.
  • Jangan makan sambal berlebihan, takut kepala janin botak.
  • Jangan mengetuk paku di dinding, duduk di atas akar kayu atau makan makanan berakar seperti pegaga, takut terlekat uri pada rahim.
  • Jangan makan durian berlebihan, takut kepala anak akan berbisul setiap kali musim durian.
  • Jangan menyusup bawah penyidai, takut anak cacat.
  • Jangan lihat gerhana, takut anak bermata juling atau ada tanda hitam.
  • Jangan tidur tengah hari atau menanam pokok pisang, takut anak lahir berkepala besar.
  • Jangan diikat mati benang atau tali, menjahit atau pun menganyam, takut anak terbelit tali pusat.
  • Jangan duduk di muka pintu atau tangga, takut susah melahirkan termasuk kemungkinan berlaku tumpah darah yang boleh mendatangkan maut.
  • Jangan makan makanan tajam seperti nenas atau tapai, takut keguguran.
  • Jangan minum kopi, kelak bayi berkulit gelap.
  • Jangan melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak akan tertutup seperti kucing sedang tidur.



Banyaknya pantang, ikut atau tidak?


Fauziah berpendapat, pantang larang orang dulu-dulu seeloknya jangan ditolak bulat-bulat. "Tidak salah untuk kita mengambil tahu mengenai pantang larang semasa hamil kerana seaneh mana pun ia kedengaran, mungkin ada manfaatnya,” katanya.





Namun, terpulanglah kepada anda sama ada hendak mengikuti pantang-larang tersebut ataupun tidak. Apa yang penting ialah anda mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan. 





Contohnya, jika anda dilarang memakan sesuatu makanan, adakah anda tidak akan mendapat sesetengah nutrien penting yang diperlukan oleh badan anda ataupun bayi dalam kandungan? Atau, bolehkah makanan yang dilarang itu digantikan dengan makanan lain yang membekalkan nutrien yang sama?





Jika anda mesti memakan sesetengah benda pula, pastikan ianya selamat dimakan. Jika anda tidak pasti, periksalah dengan doktor anda terlebih dahulu.




sumber : https://www.babycenter.com.my/a25019657/pantang-larang-masyarakat-melayu-semasa-hamil#ixzz52KWfXwyI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...